Cerita Ramadhan


Ramadhan = Peluang Membersihkan Diri
Daripada Abu Hurairah telah berkata bahawa Rasullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : “Sembahyang yang difardhukan kepada sembahyang yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan Jumaat kepada Jumaat yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan bulan kepada bulan(iaitu Ramadhan) merupakan kaffarah apa antara keduanya…” Hadith Riwayat Ahmad, Al-Hakim dan Baihaqi.
Abu Hurairah telah berkata bahawa Aku telah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda tentang Ramadhan yang bermaksud : “Sesiapa yang mendirikannya(Ramadhan) penuh keimanan dan keikhlasan diampunkan baginya apa dosanya yang telah lalu.” Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Tarmizi, Abu Daud, Nasaie,Malik,Ahmad dan Baihaqi.
Allahuakbar.
Inilah dia peluangnya. Maha Suci Allah SWT, walaupun kita selama ini melupakanNya. Selama ini melalaikanNya. Dia tetap memberikan peluang demi peluang. Peluang hidup untuk bertaubat sudah satu hal. Diberikan pula melalui Ramadhan yang amat banyak peluang kebaikan dan gandaan pahala yang besar.
“Setiap amalan kebaikan yang dilakukan oleh manusia akan dilipatgandakan dengan sepuluh kebaikan yang semisal hingga tujuh ratus kali lipat. Allah Taala berfirman (yang artinya) : Kecuali amalan puasa. Amalan puasa tersebut adalah untuk-Ku. Aku sendiri yang akan membalasnya. Disebabkan dia telah meninggalkan syahwat dan makanan karena-Ku. Bagi orang yang berpuasa akan mendapatkan dua kebahagiaan yaitu kebahagiaan ketika dia berbuka dan kebahagiaan ketika berjumpa dengan Rabbnya. Sungguh bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada bau minyak kasturi.” Hadith Riwayat Muslim.
Setiap amalan lain selain puasa kita mendapat ganjaran 10 – 700 kali lipat. Itulah ketetapan Allah SWT. Namun untuk amalan puasa, Allah tidak menyatakannya. Berapa kali lipat, berapa kali ganda, Allah tidak memberitahukannya. Hal ini kerana, puasa Allah khaskan untukNya, dan Dia ada perkiraan istimewa untuk puasa.
Maha suci Allah SWT. KasihNya Dia kepada kita.
Maka dari pihak kita pula, apa reaksi dan tindakan kita terhadap kasih sayang ini?

Jadilah Manusia Yang DicintaiNya
Manusia memang akan lalai. Memang akan alpa. Fitrahnya jelas pada namanya sendiri – Insan. Yang bermaksud – yang lupa. Memang manusia ini akan melakukan kesilapan. Memang dia akan melakukan kesalahan. Kerana imannya naik dan turun.
Namun itu semua bukan alasan. Allah SWT memahami, kerana itu Dia memberikan setiap manusia itu peluangnya. Dan bagi kita yang diberikan rezeki memasuki Ramadhan, telah sampai buat kita peluang kita.
Maka atas alasan apakah lagi kita mahu menyatakan: “Alah, Allah memang tak sayang aku, sebab tu Dia jadikan aku jahat.”
Jahat atau baik, Allah ilhamkan kedua-duanya kepada kita.
“Serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertaqwa.”Surah Asy-Syams ayat 8.
Seterusnya pilihan adalah di tangan kita.
“Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya – yang sedia bersih – bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan), dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya – yang sedia bersih – itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat).” Surah Asy-Syams ayat 9-10.
Maka telah datang kepada kita Ramadhan, telah jelas betapa kasihnya Allah SWT kepada kita.
Apakah pula reaksi dan tindakan kita terhadap kasih sayang ini?
Allah SWT berfirman:
“Sesungguhnya Allah amat mencintai mereka yang sering bertaubat, dan mereka yang membersihkan diri.” Surah Al-Baqarah ayat 222.

Penutup: Rebutlah. Jangan Berlagak.
Maka sepatutnya reaksi kita, seorang yang banyak dosa, banyak pula kealpaannya, merebut peluang-peluang yang ada di dalam Ramadhan ini.
Jangan kita salahkan Allah SWT atas kesilapan dan keingkaran kita. Sesungguhnya telah Allah berikan kita peluang, mengapa tidak kita berusaha keras menghargainya?
“Dan apa jua yang menimpa kamu dari sesuatu kesusahan (atau bala bencana), maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (dari perbuatan-perbuatan yang salah dan berdosa); dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian besar dari dosa-dosa kamu.”Surah Asy-Syuura ayat 30.
Justeru rebutlah Ramadhan ini wahai Pendosa.
Hargailah kasih sayang Tuhan kita. Allah SWT.
Jadilah hambaNya yang bersyukur, nescaya Dia akan menambah buat kita nikmat-nikmatNya.
Jangan sesekali kita kufur, kerana azabNya tidak terperi sakitnya.
“Dan ingatlah ketika Rabb kamu berfirman: Sekiranya kalian bersyukur, akan Aku tambahkan(nikmatku untukmu), dan sekiranya kamu kufur, sesungguhnya azab Aku amat pedih.” Surah Ibrahim ayat 7.
Allah telah mengasihi kita.
Maka kasihanilah diri kita sendiri, dan jauhkannya dari siksa api neraka.
Rebutlah Ramadhan ini. Perbaiki diri. Cuci diri. Menjadi manusia yang lebih baik lagi!
 Kredit : Hilal Asyraf


navigasi