Kredit : http://hikmah.org.my/
Bulan Syaaban muncul
lagi. Syaaban menandakan umat Islam semakin menghampiri Ramadhan.
Marilah kita sama-sama merenung sejenak apakah pengertian Syaaban dan
Malam nisfu Syaaban. Masih ramai umat Islam di luar sana keliru dan
musykil tentang amalan-amalan yang sepatutnya dikerjakan pada bulan
Syaaban, dan terutamanya pada malam kelima belasnya. Sebelum itu,
marilah kita sama-sama mendalami dan mengenali sedikit sebanyak info
tentang bulan Syaaban ini.
PENGERTIAN SYAABAN
Bulan
Syaaban merupakan bulan kedua selepas Rejab. Bulan Syaaban juga
merupakan bulan yang penuh dengan keberkatan. Sebahagian ahli hikmah
menyatakan bahawa sesungguhnya bulan Rejab adalah kesempatan untuk
meminta ampun dari segala dosa, dan pada bulan Syaaban adalah kesempatan
untuk memperbaiki diri dari segala macam cela dan pada bulan Ramadhan
adalah masa untuk menerangkan hati dan jiwa.
Syaaban
dimengertikan sebagai berpecah-pecah atau berpuak-puak. Dikatakan
masyarakat Quraisy pada waktu itu berpecah kepada beberapa kumpulan
untuk mencari sumber air di padang pasir. Dan apabila datangnya
Rasulullah S.A.W, baginda mengekalkan nama itu sehinggalah sekarang.
Rasulullah S.A.W telah menyebut tentang pelbagai kelebihan bulan Syaaban
dalam hadis-hadisnya. Diantara hadis yang paling masyhur ialah;
Rasulullah S.A.W bertanya kepada sahabat-sahabatnya;
“Tahukah kamu sekelian mengapa dinamakan dengan bulan Syaaban?” Para sahabat menjawab,
“Allah dan RasulNya lebih mengetahui” Sabda Rasulullah S.A.W, “Kerana
dalam bulan itu berkembanglah kebaikan yang banyak sekali.” (Dipetik dari kitab Raudatul Ulama)