Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat..
Alhamdulillah a'la kulli hal, tamatnya sudah kehidupan sepanjang satu semester ini. Suka, duka, sulit, kusut dan semua rasa yang dirasai sepanjang semester ini lagi-lagi sepanjang waktu peperiksaan akhir bermula. Namun haruslah kita bersyukur kerana setiap rasa yang dikurniakan itu pasti ada kemanisannya. Sepanjang cuti semester yang bakal tiba ini haruslah diisi dengan perkara-perkara yang bermanfaat.
Masa adalah salah sangat penting dalam kehidupan manusia. Masa yang telah lepas tidak boleh diundur kembali. Manusia akan didatangi oleh masa sibuk dan juga masa lapang. Apabila datangnya masa sibuk barulah seseorang itu akan merindui nikmat masa lapang. Ia bergantung kepada diri kita bagaimana kita menggunakan masa lapang dalam kehidupan kita supaya ia boleh memberi manfaat kepada diri. Jika kita mensia-siakan masa lapang yang ada dengan perkara yang tidak berfaedah, ia boleh merugikan diri kita sendiri.Sebagai seorang pelajar, kita akan berhadapan dengan masa sibuk seperti menghadiri kelas, melakukan tugasan, menyiapkan projek, ujian dan peperiksaan serta banyak lagi. Cuti pula adalah nikmat masa lapang yang sangat disukai oleh seorang pelajar. Ini kerana kita akan dapat berehat seketika dari kepenatan dan stress belajar.
Hargai Masa Yang Ada
Kita perlulah bijak menghargai setiap masa yang ada dalam hidup kita. Apabila berada di masa lapang kita perlu sentiasa ingat yang masa lapang ini tidak akan kekal lama. Jika kita tidak pandai menghargai masa lapang yang datang, nanti kita juga yang akan menyesal bila datangnya masa sibuk. Cuba renungkan kembali masa yang telah kita gunakan dalam kehidupan seharian. Bagaimanakah cara kita menghabiskan waktu cuti? Adakah kita seorang yang pandai menghargai masa ataupun tidak? Hanya diri kita sendiri yang mampu menilainya.
Melakukan Perkara bermanfaat
Kita boleh melakukan apa sahaja aktiviti yang kita suka lakukan jika ada masa terluang. Ia terpulang kepada diri kita masing-masing bagaimana mahu menghabiskan masa yang ada. Jika kita mempunyai banyak masa terluang berusahalah untuk melakukan aktiviti-aktiviti yang boleh memberikan manfaat kepada diri kita seperti membaca buku dan al Quran, mendengar kuliah agama, membantu rakan-rakan dan banyak lagi. Tidak rugi melakukan perkara yang boleh memberi manfaat ini malah ilmu dalam diri kita juga boleh bertambah. Kita juga boleh mendapat banyak pahala.
Elakkan Membazir Masa
Kebanyakannya dari kita suka menghabiskan masa lapang di waktu cuti dengan menonton tv, bermain game, melayari internet dan banyak lagi. Aktiviti yang dilakukan ini tidak salah tapi jangan sampai berjam-jam ataupun berlarutan tidak tahu bila hendak berhenti. Kita perlu berhati-hati juga supaya tidak terlalai dengan aktiviti-aktiviti seharian ini. Kena pandai bahagikan masa juga supaya kita tidak terleka. Elakkan dari membazir masa dengan melakukan perkara yang tidak mendatangkan sebarang manfaat.
Setiap Orang Mempunyai Masa Yang Sama
Setiap orang mempunyai masa yang sama iaitu 24 jam sehari semalam. Tidak ada orang yang diberikan masa lebih atau kurang berbanding dengan orang lain. Apa yang membezakan setiap orang adalah bagaimana cara mereka menguruskan masa dalam hidup mereka. Orang yang tidak pandai menguruskan masa akan selalu merasakan yang masa mereka tidak pernah cukup. Gunakan masa lapang yang ada semasa cuti dengan sebaiknya untuk perkara-perkara yang baik.
Masa Yang Hilang Tidak Boleh Diganti
Masa yang telah berlalu akan tetap berlalu. Ini bermakna masa kita yang telah hilang tidak boleh diganti semula. Masa sentiasa bergerak dan tidak akan menunggu kita. Jika kita terleka maka banyak masa yang telah berlalu akan menjadi sia-sia saja. Bersyukurlah jika hari ini kita mempunyai banyak masa lapang, kerana nikmat masa lapang ini tidak akan datang selalu. Masa lapang waktu cuti kita hendaklah diuruskan dengan baik. Bukan selalu kan dapat cuti.
Masa yang diberikan oleh Allah kepada kita adalah tidak ternilai harganya. Setiap detik masa adalah sangat berharga. Kita perlu menghargai setiap detik masa yang ada dalam hidup kita. Masa akan tetap berjalan walau apa pun yang berlaku. Masa tidak akan sesekali pernah menunggu kita. Kita yang perlu mengisi masa dengan segala amal kebaikan dan perkara yang bermanfaat.
Sebagai seorang pelajar, nikmat masa lapang tidak akan selalu hadir kepada kita. Hargai masa lapang yang hadir dalam hidup kita dengan melakukan perkara-perkara yang bermanfaat. Waktu cuti memang sangat menyeronokkan tapi jangan kita mudah terleka setiap kali waktu cuti. Jangan mensia-siakan waktu cuti tanpa arah tujuan. Gunakan masa cuti kita dengan sebaiknya.
Kredit : http://aqsaunisza.blogspot.com/