Ramadhan
= Peluang Membersihkan Diri
Daripada Abu Hurairah telah berkata
bahawa Rasullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : “Sembahyang yang difardhukan kepada sembahyang
yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan Jumaat kepada Jumaat
yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan bulan kepada
bulan(iaitu Ramadhan) merupakan kaffarah apa antara keduanya…” Hadith Riwayat Ahmad, Al-Hakim dan
Baihaqi.
Abu Hurairah telah berkata bahawa Aku
telah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda tentang Ramadhan yang bermaksud : “Sesiapa yang mendirikannya(Ramadhan) penuh
keimanan dan keikhlasan diampunkan baginya apa dosanya yang telah lalu.” Hadis riwayat Bukhari, Muslim,
Tarmizi, Abu Daud, Nasai‟e,Malik,Ahmad dan Baihaqi.
Allahuakbar.
Inilah
dia peluangnya. Maha Suci Allah SWT, walaupun kita selama ini melupakanNya.
Selama ini melalaikanNya. Dia tetap memberikan peluang demi peluang. Peluang
hidup untuk bertaubat sudah satu hal. Diberikan pula melalui Ramadhan yang amat
banyak peluang kebaikan dan gandaan pahala yang besar.
“Setiap
amalan kebaikan yang dilakukan oleh manusia akan dilipatgandakan dengan sepuluh
kebaikan yang semisal hingga tujuh ratus kali lipat. Allah Ta‟ala
berfirman (yang artinya) : Kecuali amalan puasa. Amalan puasa tersebut adalah
untuk-Ku. Aku sendiri yang akan membalasnya. Disebabkan dia telah meninggalkan
syahwat dan makanan karena-Ku. Bagi orang yang berpuasa akan mendapatkan
dua kebahagiaan yaitu kebahagiaan ketika dia berbuka dan kebahagiaan ketika
berjumpa dengan Rabbnya. Sungguh bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di
sisi Allah daripada bau minyak kasturi.” Hadith Riwayat
Muslim.
Setiap
amalan lain selain puasa kita mendapat ganjaran 10 – 700 kali lipat. Itulah
ketetapan Allah SWT. Namun untuk amalan puasa, Allah tidak menyatakannya.
Berapa kali lipat, berapa kali ganda, Allah tidak memberitahukannya. Hal ini
kerana, puasa Allah khaskan untukNya, dan Dia ada perkiraan istimewa untuk
puasa.
Maha
suci Allah SWT. KasihNya Dia kepada kita.
Maka
dari pihak kita pula, apa reaksi dan tindakan kita terhadap kasih sayang ini?
Jadilah
Manusia Yang DicintaiNya
Manusia
memang akan lalai. Memang akan alpa. Fitrahnya jelas pada namanya sendiri –
Insan. Yang bermaksud – yang lupa. Memang manusia ini akan melakukan kesilapan.
Memang dia akan melakukan kesalahan. Kerana imannya naik dan turun.
Namun
itu semua bukan alasan. Allah SWT memahami, kerana itu Dia memberikan setiap
manusia itu peluangnya. Dan bagi kita yang diberikan rezeki memasuki Ramadhan,
telah sampai buat kita peluang kita.
Maka
atas alasan apakah lagi kita mahu menyatakan: “Alah, Allah memang tak sayang
aku, sebab tu Dia jadikan aku jahat.”
Jahat
atau baik, Allah ilhamkan kedua-duanya kepada kita.
“Serta
mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan
yang membawanya kepada bertaqwa.”Surah Asy-Syams ayat 8.
Seterusnya
pilihan adalah di tangan kita.
“Sesungguhnya
berjayalah orang yang menjadikan dirinya – yang sedia bersih – bertambah-tambah
bersih (dengan iman dan amal kebajikan), dan sesungguhnya hampalah orang yang
menjadikan dirinya – yang sedia bersih – itu susut dan terbenam kebersihannya
(dengan sebab kekotoran maksiat).” Surah
Asy-Syams ayat 9-10.
Maka
telah datang kepada kita Ramadhan, telah jelas betapa kasihnya Allah SWT kepada
kita.
Apakah
pula reaksi dan tindakan kita terhadap kasih sayang ini?
Allah
SWT berfirman:
“Sesungguhnya
Allah amat mencintai mereka yang sering bertaubat, dan mereka yang membersihkan
diri.” Surah
Al-Baqarah ayat 222.
Penutup:
Rebutlah. Jangan Berlagak.
Maka
sepatutnya reaksi kita, seorang yang banyak dosa, banyak pula kealpaannya,
merebut peluang-peluang yang ada di dalam Ramadhan ini.
Jangan
kita salahkan Allah SWT atas kesilapan dan keingkaran kita. Sesungguhnya telah
Allah berikan kita peluang, mengapa tidak kita berusaha keras menghargainya?
“Dan
apa jua yang menimpa kamu dari sesuatu kesusahan (atau bala bencana), maka ia
adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (dari perbuatan-perbuatan yang salah
dan berdosa); dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian besar dari
dosa-dosa kamu.”Surah
Asy-Syuura ayat 30.
Justeru
rebutlah Ramadhan ini wahai Pendosa.
Hargailah
kasih sayang Tuhan kita. Allah SWT.
Jadilah
hambaNya yang bersyukur, nescaya Dia akan menambah buat kita nikmat-nikmatNya.
Jangan
sesekali kita kufur, kerana azabNya tidak terperi sakitnya.
“Dan
ingatlah ketika Rabb kamu berfirman: Sekiranya kalian bersyukur, akan Aku
tambahkan(nikmatku untukmu), dan sekiranya kamu kufur, sesungguhnya azab Aku
amat pedih.” Surah Ibrahim
ayat 7.
Allah
telah mengasihi kita.
Maka
kasihanilah diri kita sendiri, dan jauhkannya dari siksa api neraka.
Rebutlah
Ramadhan ini. Perbaiki diri. Cuci diri. Menjadi manusia yang lebih baik lagi!
Kredit : Hilal Asyraf