Hari Ini Dalam Sejarah : PERASMIAN PEMBUKAAN JALANRAYA KUALA LUMPUR - PORT SWETTENHAM 14 JAN 1959

Lebuhraya Kuala Lumpur - Port Klang (Dulu adalah lebuhraya Kuala Lumpur - Port Swettenham)

Pada hari ini dalam tahun 1959, satu jalan baru telah dibuka yang menghubungkan Kuala Lumpur dengan Port Swettenham. Upacara perasmian jalan baru ini telah dilakukan oleh Menteri Kerja Raya, Encik Sardon b. Haji Jubir.  Turut sama di majlis perasmian yang unik ialah Pengarah Kerja Raya Tuan R. E. Pitt.  Upacara perasmian dijalankan dengan kedua-dua tokoh ini menaiki kereta dan bergerak laju di atas jalan baru tersebut dan terus `melanggar' peta yang dipasang merintangi jalan.  

Secara simboliknya jalan tersebut sudah boleh merentasi kawasan peta berkenaan. Jalan raya yang menghubungkan Kuala Lumpur ke Port Swettenham ini telah menghubungkan dua bandar di antaranya iaitu Petaling Jaya dan Sungai Way. Sebanyak $2 Juta telah diperuntukkan untuk pembinaan jalan raya ini. Kini penduduk-penduduk di kedua-dua tempat ini boleh dihubungi dengan lebih cepat iaitu kira-kira 60 batu sejam berbanding dengan jangka masa yang lebih lama diambil sebelumnya. Kerja-kerja pembinaan jalan raya tersebut telah dimulakan pada bulan April 1956 dan pada hari ini dalam tahun 1959 ianya telah selamat dirasmikan oleh Menteri Kerja Raya.  

Kemudahan yang disediakan ini akan membantu mempercepatkan lagi hubungan penduduk di kedua-dua tempat dan dapat meningkatkan lagi aktiviti ekonomi di Port Swettenham dan Kuala Lumpur selain dari itu bandar-bandar seperti Petaling Jaya dan Sungei Way akan dapat dibangunkan dan seterusnya kegiatan ekonomi di kawasan-kawasan ini akan terus meningkat dan berkembang maju.   

navigasi