Hari ini Dalam Sejarah : SEKOLAH TINGGI KELANG MULA MENGADAKAN PERMAINAN SUKAN SEBAGAI KO-KURIKULUM 14 JAN 1928


Pada hari ini dalam tahun 1928, Sekolah Tinggi Kelang telah mula memainkan peranan dalam mengetengahkan kegiatan sukan sebagai ko-kurikulum di sekolah. Di bawah Guru Besar, Encik S.C.E. Singam permainan badminton, ping pong, bolasepak, kriket telah diperkenalkan. 

Pada tahun 1932, Sekolah Tinggi Kelang telah memperolehi sebidang tanah untuk dijadikan padang permainan di atas kemurahan hati Residen British, J.W.W. Hughes. Berikutan dengan itu dua lagi permainan iaitu bola tampar dan bola keranjang diperkenalkan. Kewujudan padang permainan ini telah memajukan lagi sukan di Sekolah Tinggi Kelang. 

Sebanyak 4 buah rumah sukan telah dibentuk iaitu Rumah Mallory, Rumah Rose, Rumah Sulaiman dan Rumah Watkins. Pada tahun 1934, atas daya usaha guru Besar gelanggang tenis telah diadakan.  Pada tahun ini juga kejohanan olahraga tahunan sekolah mula diperkenalkan dan disertai ahli-ahli sukan seluruh negeri Selangor. Acara ini menjadi terkenal di Kelang.  

Dalam tahun 1946 Rumah New diperkenalkan sebagai tambahan pada 4 rumah sukan yang sedia ada dan rumah ini ditukar nama pada Rumah Thuraisingam. Dalam sejarah kesukanan Sekolah Tinggi Kelang begitu popular dengan Encik K. Laxman sebagai  ahli olahraga dan Raja Shukri sebagai pemain badminton yang mana mereka adalah antara ahli sukan yang mewakili negara yang dihasilkan oleh Sekolah Tinggi Kelang.  Ini semua hasil dari perancangan bidang sukan sekolah ini sejak tahun 1928 lagi.  

navigasi